• Ilona Andrew

Guan Eng minta Kerajaan kemuka perincian kos pengubahsuaian Seri Perdana


30 Sept 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Kerajaan untuk mengemukakan perincian kos pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana di Putrajaya, yang membabitkan RM38.5 juta.


Beliau berkata, perincian itu harus didedahkan bagi menjustifikasikan penggunaan dana rakyat ketika negaara menghadapi krisis nasional wabak Covid-19 dan ekonomi.


"Apa pengubahsuaian yang diperlukan itu sehingga yang menyebabkan kos yang tinggi? Rakyat berhak untuk bertanya apakah RM38.5 juta yang sebenarnya dapat digunakan dengan lebih baik untuk memerangi pandemik Covid-19 kecuali kos itu diteliti secara ketat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Tambahnya, kos sebesar itu boleh digunakakn dengan menyediakan lebih banyak katil di ICU, rawatan yang lebih baik, ubat-ubatan atau bahkan bantuan kewangan kepada mereka yang terkesan oleh krisis ekonomi negara.


"Sebuah projek yang hanya diluluskan pada 19 Mac tetapi pekerjaan dimulai hanya 10 hari kemudian menimbulkan pertanyaan apakah tender terbuka umum dilakukan.


"Jika tidak, dimana kecemasan itu, sehingga protokol perolehan Kerajaan tidak dipatuhi?" soal Guan Eng.


"Pada saat kekurangan dana, Kerajaan memilih untuk membelanjakan RM38.5 juta untuk pengubahsuaian walhal dana tersebut sebenarnya dapat digunakan untuk membangun perumahan awam untuk orang yang memerlukan, terutama di kawasan bandar," tambahnya.


Pengubahsuaian Seri Perdana diluluskan dan dimulakan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Semalam, Menteri di Pejabat Perdana Menteri (Tugas Khas) Datuk Abdul Latiff Ahmad menyatakan bahawa kerja-kerja pengubahsuaian telah diluluskan pada 19 Mac, dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac.