• Wartawan Nabalu News

Guru tolak vaksin akan diambil tindakan mulai 1 November


30 Oktober 2021

Oleh Waratawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tanpa alasan yang kukuh akan diambil tindakan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohamad Alamin.


Beliau berkata, guru tertakluk kepada peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan vaksinasi lengkap Covid-19 di kalangan penjawat awam menjelang 1 November.


“Oleh itu, guru yang enggan divaksin tanpa alasan yang munasabah tidak seharusnya menyalahkan kerajaan atas sebarang tindakan tatatertib yang mungkin dikenakan terhadap mereka.


“Saya menggesa para guru-guru untuk tampil ke hadapan dan mengambil vaksin sebelum kembali ke sekolah,” katanya.


Tambah timbalan menteri itu, perkara tersebut bukan hukuman atau amaran, tetapi ia adalah untuk keselamatan para pelajar.


“Jangan biarkan ibu bapa bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka di sekolah.


“Guru mempunyai tanggungjawab besar untuk meyakinkan orang ramai bahawa sekolah adalah tempat yang selamat,” katanya lagi.


Menurut Mohamad, terdapat kira-kira 2,000 guru yang masih belum menerima suntikan setakat 30 Oktober.