top of page
  • nabalunews

Indonesia komited tingkatkan kerjasama ekonomi di Borneo, selepas ibu kota baharu Nusantara beroperasi 17 Ogos


27 Julai 2024


KUCHING: Republik Indonesia berhasrat untuk memperkukuh kerjasama dalam membangunkan kegiatan ekonomi di Borneo selepas ibu kota barunya, Nusantara, mula beroperasi pada 17 Ogos nanti.


Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata kerjasama ini akan melibatkan Sabah dan Sarawak di Malaysia serta Brunei Darussalam, terutama dalam bidang perdagangan darat dan pengangkutan udara.


Jelasnya menerusi kerjasama yang betul, harga barang di tiga negara itu dapat dikurangkan dengan pembinaan laluan darat yang baik yang pastinya memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya industri.


Tambah beliau, nilai import barangan dari Indonesia ke Sarawak melalui Jakarta dan Pelabuhan Klang mencapai angka yang signifikan, iaitu AS$600 juta tahun lalu.


Raden juga mengumumkan rancangan untuk membuka Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) berhampiran Kapit, Sarawak, yang merupakan laluan darat terdekat ke ibu kota baru Indonesia.


Ujar beliau, Nusantara akan mula beroperasi secara rasmi pada 17 Ogos ini, sempena Hari Kemerdekaan Indonesia.


"Sehingga tahun 2029, kita menjangkakan sebanyak 100,000 penjawat awam akan berpindah ke sana bersama empat kementerian," katanya.

Comments


bottom of page