top of page

Kerajaan pertimbang larang kanak-kanak bawah 13 tahun miliki akaun media sosial

  • nabalunews
  • Jul 29, 2025
  • 2 min read

29 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi sedang mempertimbangkan cadangan tidak membenarkan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kebanyakan platform sudah tidak membenarkan kanak-kanak di bawah 13 tahun mempunyai akaun.


LMalangnya, jika ahli Yang Berhormat bertemu dengan mana-mana kumpulan pelajar bawah 13 tahun dan bertanya adakah mereka mempunyai akaun TikTok, ramai yang akan kata ya.


"Ini sebenarnya satu kesalahan yang diakui oleh pihak TikTok sendiri. Jadi kita sedang teliti, salah satu caranya ialah bawah 13 tahun, kita tidak membenarkan memiliki akaun media sosial," katanya semasa sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkait cadangan mewujudkan dasar khas kebangsaan bagi kesejahteraan kanak-kanak khususnya bagi kandungan dalam talian.


Fahmi berkata, modul literasi digital pula akan diberi kepada mereka yang berumur 13 tahun ke atas supaya golongan itu memahami kerencaman maklumat di media sosial dan langkah yang perlu mereka ambil untuk terus berwaspada.


Dalam pada itu katanya, sebanyak 1,443 kandungan jelik dan jelik melampau melibatkan kanak-kanak telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan berikutan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari 1 Januari 2022 sehingga 15 Julai lalu.


“Tindakan ini dilakukan ekoran pelanggaran peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta garis panduan komuniti penyedia platform.


"Sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia, SKMM mengambil pendekatan menyeluruh untuk memastikan kandungan memudaratkan seperti konten anomali, toksik dan merosakkan kognitif seperti 'brain rot' dapat dikawal dan dicegah,” katanya.


Jelasnya, antara langkah-langkah kawal selia yang telah dan sedang dilaksanakan adalah sesi libat urus berterusan dengan penyedia perkhidmatan platform seperti YouTube dan TikTok bagi memastikan sistem algoritma mereka lebih telus dan selaras dengan kehendak peraturan tempatan.


“Ini termasuk keperluan untuk mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan yang berunsur negatif atau memudaratkan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page