Malaysia lakar sejarah jadi saksi Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja, Thailand
- nabalunews
- Oct 26, 2025
- 1 min read

26 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini melakar sejarah apabila menjadi saksi kepada Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, menandakan detik penting dalam usaha menamatkan ketegangan antara kedua-dua negara jiran ASEAN itu.
Perjanjian damai itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Anwar berkata, ia menandakan kejayaan diplomasi ASEAN dalam menyemai keamanan dan kestabilan serantau serta sebagai kesinambungan kepada gencatan senjata yang dicapai pada 28 Julai lalu di Putrajaya.
“Saya menghargai keprihatinan rakan-rakan serantau dan antarabangsa yang mendukung usaha ini, termasuk Presiden Trump.
“Peranan bersama inilah yang mendorong pemimpin Kemboja dan Thailand mencapai kata sepakat serta mengambil langkah berani memilih perdamaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Anwar, perjanjian itu membuktikan suara ASEAN kini semakin dihormati sebagai jambatan perdamaian selain memperlihatkan bagaimana dialog dan kesederhanaan mampu menamatkan sengketa yang berpanjangan.
Malaysia, katanya, akan terus memainkan peranan aktif memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa bagi menjunjung keamanan, keadilan dan kesejahteraan bukan hanya untuk ASEAN, tetapi juga untuk dunia sejagat.
“Di hadapan Presiden Trump, saya turut tegaskan keperluan memperluas agenda keamanan ini ke wilayah lain yang masih bergolak khususnya di Gaza, agar dunia kembali berpaksikan keadilan dan kemanusiaan sejagat,” katanya.


















Comments