top of page

MELAKA RANCANG PENERBANGAN TERUS DARI KOTA KINABALU, PULAU PINANG

nabalunews

15 DIS 2020


MELAKA: Kerajaan negeri Melaka merancang memperkenalkan perkhidmatan penerbangan secara terus dari Kota Kinabalu, Sabah ke Melaka dan Melaka ke Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), bagi merancakkan kembali sektor ekonomi pelancongan negeri.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Firefly, syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia Airlines Bhd menerusi pertemuan bersama Pengurus LTAM Mohamad Nazri Mat Khalib dan Ketua Bahagian Jualan Firefly Muizzuddin Mahmud di Seri Negeri, semalam.

"Pertemuan ini cukup penting dalam usaha kerajaan negeri menarik penyertaan syarikat penerbangan Firefly untuk meluaskan penerbangannya ke Melaka. Antara destinasi yang dibincangkan ialah cadangan penerbangan Kota Kinabalu-Melaka dan Melaka-Pulau Pinang.

"Melalui pertemuan ini, saya percaya akan disusuli lebih banyak perbincangan menyeluruh, sekali gus diharapkan dapat merancakkan lagi sektor penerbangan di LTAM dan pelancongan negeri Melaka secara keseluruhannya," katanya menerusi catatan yang dimuat naik di laman sosial Facebook, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan operasi LTAM di Batu Berendam di sini terpaksa ditangguhkan sehingga tahun depan berikutan situasi pandemik COVID-19 dan dijangka kembali beroperasi melibatkan laluan Melaka-Pulau Pinang yang dikendalikan syarikat penerbangan Malindo Air.

Kerajaan negeri turut dilaporkan akan berbincang dengan AirAsia sama ada ingin terus beroperasi di LTAM atau sebaliknya selepas syarikat penerbangan tambang murah itu mengumumkan menarik diri awal tahun ini. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page