- Wartawan Nabalu News
Pembayaran STR Fasa 4 sebelum Deepavali

1 Nov 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Pembayaran terakhir Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 bagi tahun ini akan diagihkan sebelum sambutan Deepavali bermula secara berperingkat dari 7 Nov ini dengan jumlah peruntukan RM2.1 bilion kepada 5.5 juta penerima.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, daripada jumlah itu, 5.22 juta penerima STR yang sedia ada akan mendapat bantuan tunai sehingga RM1,200.
Selain itu, lebih 280,000 penerima baharu yang lulus untuk Rayuan STR 2023 juga akan mendapat bantuan bagi Fasa 4.
"Mereka akan menerima sehingga RM2,500 mengikut kategori kelayakan masing-masing. Pembayaran ini merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini.”
Dalam kenyataan yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah memperuntukkan hampir RM8 bilion untuk STR 2023 kepada 8.7 juta penerima yang melibatkan hampir 60 peratus rakyat dewasa Malaysia untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata sebagai penambahbaikan kepada STR 2024, kerajaan akan mengambil pendekatan yang berbeza untuk memastikan tiada rakyat yang terlepas pandang.
Kementerian itu berkata, bermula hari ini, individu yang layak boleh membuat permohonan baru dan mengemaskini maklumat mereka untuk STR 2024 sepanjang tahun berbanding proses permohonan STR 2023 yang hanya dibuka sekali setahun.
"Ini untuk membolehkan mereka yang layak tetapi tidak ada dalam pangkalan data kerajaan untuk mengemukakan permohonan mereka serta membenarkan penerima sedia ada untuk membuat pengemaskinian jika ada perubahan maklumat," katanya.
Selain itu, bagi mengelakkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR yang sedia ada akan dibawa masuk secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan dan data tersebut akan disemak silang dengan data daripada beberapa agensi kerajaan untuk memastikan kelayakan STR 2024 mengikut syarat yang ditetapkan.
Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan [https://bantuantunai.hasil.gov.my] untuk mendapatkan maklumat lanjut manakala semakan status pembayaran dan kelulusan rayuan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.