PM gesa isu berbangkit BUDI95 diselesai segera
- nabalunews
- Oct 1
- 1 min read

1 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Kewangan menyelesaikan segala isu berbangkit mengenai program Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan segera.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata ia termasuk kuota tambahan bagi pemandu e-hailing, p-hailing serta teksi.
Selain itu, katanya agihan kuota khas untuk pengusaha bot nelayan atau bot-bot tertentu khususnya di Sabah, Sarawak serta beberapa kawasan Semenanjung juga sedang diteliti.
"Mengenai pemandu ataupun rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu Singapura, maka akan ada satu mekanisme yang khusus untuk membantu mereka mendapat bantuan subsidi BUDI95," katanya pada sidang media Pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mengesahkan kuota 300 liter bagi subsidi BUDI95 diperbaharui hari ini, selaras dengan pembaharuan kuota pada hari pertama setiap bulan.
"Hari ini 1 Oktober, maka jumlah kuota dikembalikan kepada 300 liter. Jadi sesiapa yang sudah membeli RON95 menggunakan BUDI95 semalam, hari ini kuota kembali kepada jumlah 300 liter," katanya
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi, Kementerian Kewangan serta syarikat pengendali stesen minyak juga akan mengeluarkan kenyataan sekiranya terdapat sebarang maklumat tidak betul atau kekeliruan mengenai program subsidi tersebut dari semasa ke semasa.
Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan setiap individu diberi ketetapan siling 300 liter sebulan.


















Comments