Premier Sarawak dan KM Sabah dalam senarai utama protokol Persekutuan
22 Julai 2024
KOTA KINABALU: Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah berada dalam senarai utama protokol Persekutuan di kalangan Menteri Besar dan Ketua Menteri di seluruh negara.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam perkongsian di akaun Facebooknya.
Beliau turut berkongsi gambar kedudukan tempat duduk Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg dan isteri serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri pada Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
“Kenapa saya pilih post gambar ini? Gambar Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak dalam Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
“Sebelum Kerajaan Madani dibentuk, susunan protokol kekananan persekutuan di kalangan Menteri Besar dan Ketua Menteri adalah berdasarkan tarikh lantikan ke jawatan masing-masing. Maksudnya, siapa dilantik lebih awal akan berada pada susunan terkanan mengikut giliran.
“Bermula pentadbiran Kerajaan Madani di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, penambahbaikan telah dibuat.
“Senarai protokol kekananan akan bermula dengan dua jawatan terlebih dahulu iaitu Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah tanpa terikat dengan tarikh lantikan, dan kemudiannya akan ditentukan di kalangan Menteri Besar dan Ketua Menteri mengikut tarikh lantikan ke jawatan masing-masing,” katanya.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, bagi sesetengah orang perkara itu mungkin tidak penting kerana ia hanya sekadar protokol.
Namun, jelasnya perubahan itu pada hakikatnya mempunyai nilai dan makna yang besar sebagai citra pengiktirafan kepada ikatan sosial yang membina persekutuan Malaysia yang dibentuk tiga wilayah iaitu Tanah Melayu, North Borneo (Sabah) dan Sarawak, selain Singapura pada satu masa dahulu.
“Kalaupun tidak hari ini, sekurang-kurangnya generasi akan datang akan memahami kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Sekurang-kurangnya akan ada pihak yang sebelum ini kurang faham, akan menyemak sejarah terbinanya tanah air ini.
“Sekurang-kurang dengan adanya kefahaman ini, tidak ada lagi yang bertanya apa lagi Sabah Sarawak mahu, dan diharapkan tidak ada lagi terkhilaf menyebut Sabah Sarawak menyertai Malaysia, kerana asasnya wilayah Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama membentuk.
“Apa ada pada perkataan ‘menyertai’ dan ‘bersama membentuk’? Pastinya ada kerana ‘kebiasaan’ menyebut ‘menyertai’ itulah yang membawa kepada kekeliruan dalam memahami konteks dan teras penubuhan Persekutuan Malaysia tercinta.
“Mari kita kibar Jalur Gemilang bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 yang akan dimaknai dengan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.
“Dirgahayu Malaysia; Tanah Tumpah Darahku,” katanya dalam perkongsian itu.
Comments