Program PENN: RM8.8 Juta sudah disalur – Ramanan
- nabalunews
- Jul 21, 2024
- 2 min read

21 Julai 2024
PETALING JAYA: Sejumlah RM8.8 juta sudah disalurkan kepada 1,229 wanita India menerusi Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women atau PENN, sehingga 17 Julai lalu.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada dana khas RM50 juta yang diperuntukkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi program yang bertujuan memperkasa dan menjamin masa depan usahawan wanita India.
“Jumlah itu direkodkan bermula dari program itu dilancarkan pada 13 April hingga 17 Julai.
“Menerusi program ini, sebanyak RM50 juta diperuntukkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membolehkan wanita India membuat pinjaman untuk dijadikan modal perniagaan atau dalam usaha membesarkan perniagaan sedia ada mereka.
“Sehingga hari ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan dijangka akan terus beri manfaat kepada 10,200 wanita India dari seluruh negara.
“Kita jangka lebih ramai wanita India akan dapat manfaat menerusi program ini dan sekaligus dapat memperkasa mereka terutama dalam bidang perniagaan mikro atau perniagaan kecil-kecilan.
“PENN juga dilancarkan sebagai satu langkah untuk memajukan, memperkasakan dan menggemilangkan wanita India di negara ini seiiring dengan gagasan Malaysia MADANI,” katanya ketika Majlis Penyerahan Penyampaian PENN di ibu pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia, Jumaat lalu.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga AIM yang juga Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz; dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.
Beliau turut menggalakkan golongan muda supaya menceburi bidang keusahawanan memandangkan pelbagai bantuan dan peluang yang disediakan kerajaan terutama menerusi agensi dibawah KUSKOP.
Sementara itu katanya, setakat ini, Perak mencatatkan jumlah pinjaman PENN paling tinggi dengan pembiayaan sebanyak RM3.3 juta, diikuti Selangor/Kuala Lumpur sebanyak RM1.8 juta dan Negeri Sembilan/Melaka sebanyak RM1.3 juta.
Tambahnya lagi, AIM telah mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya mengeluarkan lebih empat juta isi rumah daripada belenggu kemiskinan dan mengekalkan peratus Non-Performing Loan (NPL) sebanyak 0.09 peratus tahun lepas.
Sementara itu seorang penerima PENN, V. Letchumy, 50 tahun memberitahu akan menggunakan duit itu sebagai modal membeli kelengkapan dan barangan yang makin usang.
Dia yang berniaga makanan-makanan ringan dan kekacang di kuil-kuil sekitar Lembah Klang menerima pembiayaan PENN sebanyak RM25,000.
“Sekarang barang susah nak bawa, jadi saya rancang nak beli lori. nak guna juga untuk dijadikan modal beli barang seperti payung-payung dan barang berniaga.
Manakala T. Amutha, 50, yang merupakan pemilik kedai runcit berkata, nilai faedah yang diberikan cukup rendah.
“Saya mula-mula pinjam RM3,000 untuk buka kedai runcit pada 2009.
“Hari ini saya dapat RM23,000 saya nak besarkan perniagaan selain kurangkan beban yang ada,” katanya.
Dia yang membuka kedai runcit di Kinta, Perak memberitahu, urusan untuk membuat pinjaman bersama AIM lebih mudah berbanding institusi lain.
Comments