Serangan bom di KK Mart: Aaron minta keharmonian negara dipertahankan
31 Mac 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUANTAN: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, mengutuk dengan tegas insiden serangan bom molotov cocktail yang berlaku di pasaraya KK Mart Sungai Isap, Kuantan, baru-baru ini.
Beliau meluahkan rasa kecewa dan berkata, tindakan tersebut tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.
"Dalam masyarakat kita, tidak ada ruang bagi keganasan. Setiap individu yang terlibat dalam tindakan sedemikian perlu dihadapkan kepada keadilan yang sewajarnya," kata Aaron dalam kenyataannya pada Sabtu.
Tambahnya, perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang negara, tetapi juga mengancam ketenteraman dan keamanan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, ras, etnik dan agama.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua pihak agar menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan polemik perkauman dan mengancam sensitiviti masyarakat berbilang bangsa.
"Saya berharap agar semua pihak dapat menghayati prinsip faham, hormat dan terima dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia," tambahnya.
Ujar beliau lagi, kementeriannya terus melaksanakan program-program intervensi di kawasan berisiko tinggi bagi mengukuh dan menyatupadukan rakyat Malaysia.
"Saya percaya bahawa solidariti dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia akan menjadi benteng utama menangani ancaman terhadap perpaduan dan keharmonian negara.
"Keamanan negara dan perpaduan rakyat adalah tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh kita semua," katanya.
Comments