top of page
  • Wartawan Nabalu News

Skim Perubatan MADANI manfaat lebih sejuta pesakit dapatkan rawatan ringan percuma



15 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Lebih daripada 1 juta pesakit telah direkodkan bagi mendapatkan rawatan penyakit ringan secara percuma di klinik-klinik swasta yang berdaftar sejak Skim Perubatan MADANI diperkenalkan pada 15 Jun yang lalu.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengumumkan bahawa sehingga kini, sejumlah 1,005,645 rawatan telah diberikan kepada 785,623 pesakit melalui 2,506 klinik swasta dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM62.5 juta.


"Kerajaan telah menunjukkan komitmen yang berterusan terhadap skim ini dengan memberi peruntukan sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 2024 agar skim ini dapat diteruskan pada tahun hadapan," kata Datuk Seri Dr Dzulkefly dalam satu kenyataan.


"KKM dan ProtectHealth akan terus komited memantapkan gerak kerja dalam meningkatkan penglibatan klinik swasta di seluruh negara, bagi memperluas akses kumpulan berpendapatan rendah kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti."


Skim Perubatan MADANI adalah inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40. Skim ini secara automatik ditawarkan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah, membolehkan mereka mendapatkan rawatan penyakit ringan di klinik swasta berdekatan tanpa sebarang caj.


Untuk semakan kelayakan dan mencari klinik swasta yang terlibat, orang ramai boleh mengunjungi laman web ProtectHealth di www.protecthealth.com.my, menggunakan aplikasi 'Skim Perubatan MADANI', atau aplikasi MySejahtera.

bottom of page