top of page

SPRM tidak kesan kesalahan isu dakwaan dokumen palsu babitkan FAM

  • nabalunews
  • Sep 29
  • 1 min read

ree

29 September 2025


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengenal pasti sebarang asas kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran membabitkan tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).


Menurut suruhanjaya itu, pihaknya telah berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selain mengadakan pertemuan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan dokumen berkaitan proses permohonan serta pendaftaran kewarganegaraan pemain terbabit.


“Berdasarkan semakan awal, isu ini dilihat lebih kepada proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM pada masa ini.


“Selain itu, tiada asas kesalahan dikenal pasti di bawah Akta SPRM 2009 setakat ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Sehubungan itu katanya, SPRM tidak akan berhubung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebaliknya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada pihak FAM untuk menyelesaikan perkara tersebut.


Dalam pada itu, agensi berkenaan turut menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara pihak terlibat.


Sebelum ini, FIFA dalam kenyataannya mendedahkan FAM dan tujuh pemain melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) kerana menyerahkan dokumen yang dipalsukan dalam proses pengesahan kelayakan pemain.


Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page