Tiada keperluan dedah laporan Jawatankuasa MA63 – OngkiliTiada keperluan dedah laporan Jawatankuasa MA63 – Ongkili
top of page
  • Farah Salim

Tiada keperluan dedah laporan Jawatankuasa MA63 – Ongkili


17 Nov 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan masih kekal dengan pendirian bahawa tiada keperluan untuk membuat penarafan semula berhubung kerahsiaan Laporan Jawatankuasa Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKKKMA63).


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata ini kerana laporan JKKKMA63 sebelum ini merupakan persetujuan dasar yang masih memerlukan tindakan sebelum dapat dilaksanakan.


“Justeru itu, Kerajaan Persekutuan wajar diberikan ruang untuk meneruskan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak berhubung pelaksanaan perkara-perkara yang berkaitan.


“Sebarang kemajuan yang dicapai akan diumumkan oleh Kerajaan dari masa ke semasa,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.


Beliau menjawab soalan Datuk Darell Leiking (Warisan-Penampang) yang bertanya jika Kerajaan bercadang untuk mengklasifikasikan semula dengan melucutkan status rahsia Laporan Jawatankuasa Khas Kabinet berkaitan Penjanjian Malaysia 1963.


Darell juga bertanya mengenai status perbincangan empat lagi perkara tertunggak dari 21 isu yang dibawa oleh Kerajaan Sabah, iaitu Royalti Minyak dan Pembayaran Tunai Petroleum; Mineral Minyak dan Medan Minyak; Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] dan Hak Negeri ke atas Pelantar Benua.


“Berhubung dengan empat perkara yang berkaitan minyak dan gas, kesemua perbincangan berkaitan perkara-perkara tersebut adalah ditangguhkan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada penyelesaian secara komersial yang sedang dibincangkan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sabah dan Petronas secara berasingan,” jelas Ongkili.

bottom of page