Usahawan bimbingan INSKEN sumbang RM21 juta kepada negara sepanjang 2022
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Usahawan bimbingan INSKEN sumbang RM21 juta kepada negara sepanjang 2022

7 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) satu daripada agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melakar sejarah baharu apabila berjaya menyumbang RM21 juta kepada ekonomi negara melalui pelbagai program bimbingan usahawan sepanjang 2022.


Menurut kenyataan INSKEN, kejayaan itu dihasilkan melalui pelaksanaan 38 program bimbingan iaitu Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), Online Onboarding Coaching Programme (E-Board), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.


Berdasarkan laporan pencapaian 2022, INSKEN berjaya melatih 21,385 usahawan sekaligus melepasi sasaran 2022 iaitu seramai 13,390 usahawan.


Kesemua usahawan itu dilatih melalui 502 program latihan dan bimbingan. Program yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu juga mencapai 119 peratus iaitu melepasi sasaran awal sebanyak 422 program.


Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam kenyataan hari ini berkata, INSKEN terus mengekalkan momentum kecemerlangan kerana program-program yang dilaksanakan adalah berasaskan keperluan semasa usahawan. 


“Pelbagai kisah kejayaan telah dibuktikan bukan sahaja melalui laporan pencapaian tahunan, malah turut diakui oleh usahawan-usahawan sendiri yang menyertai program INSKEN,” katanya.


Beliau percaya dengan kesungguhan INSKEN membantu usahawan di seluruh Malaysia, lebih ramai usahawan akan dapat memajukan perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, sasaran INSKEN tahun lalu tercapai untuk membantu lebih ramai usahawan mikro dan tidak formal.


Beliau berkata, kejayaan itu juga adalah hasil kerjasama baik semua agensi yang turut melaksanakan program yang sama.


“Tahun lalu, INSKEN melaksanakan 311 program kolaborasi bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB) dan Professional Training And Education For Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ),” katanya.


Katanya lagi, tahun ini INSKEN akan terus melaksanakan kesemua program latihan dan bimbingan sedia ada dengan penambahan dua program baharu iaitu Program Urus Kewangan Untuk Perniagaan Kecil dan Kursus Asas Pembangunan Produk & Servis (KAPPS). 


“Program Urus Kewangan Untuk Perniagaan Kecil merupakan program lanjutan dan bakal dilaksanakan selepas Kursus Urus Tunai (KUT) yang telah dilaksanakan tahun lalu. 


“Manakala KAPPS direka khas untuk membantu usahawan membangunkan produk atau perkhidmatan berdasarkan kehendak pasaran,” katanya.


Selain itu katanya, terdapat penambahan industri baharu bagi Program IBBC iaitu Pet Care, Grocery Store, Printing & Related Services dan Kraftangan. 


“Tahun ini INSKEN mensasarkan untuk melatih 7,940 usahawan melalui 225 program latihan dan bimbingan.


“INSKEN mengalu-alukan kolaborasi di antara kementerian dan agensi dalam usaha membantu memantapkan lagi ekosistem keusahawanan negara,” katanya.


Muhd Firdaus berkata, sehingga kini INSKEN komited menghulurkan bantuan menerusi program latihan, bimbingan serta konsultasi percuma kepada semua kategori usahawan di Malaysia. 


Maklumat lanjut mengenai kesemua program latihan dan bimbingan keusahawanan anjuran INSKEN boleh diperolehi melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my

bottom of page