Yang di-Pertuan Agong, pandang serius isu rasuah di Malaysia

28 Feb 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memandang serius isu rasuah yang berlaku di Malaysia.
Titah Baginda, isu itu harus diberi perhatian terutamanya dalam membina sebuah negara bangsa yang telus dan berintegriti.
“Beta percaya kerajaan sedang melaksanakan dasar dan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional menerusi tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi membanteras segala bentuk jenayah rasuah.
“Kerajaan juga sedang menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan melalui inisiatif Kerajaan Digital secara end-to-end supaya lebih telus, cekap dan profesional,” titah Baginda.
Seri Paduka bertiitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Titah Baginda itu mendapat reaksi spontan daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat dengan menepuk meja sebagai tanda sokongan.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan atas perkhidmatan semua petugas barisan hadapan negara dan agensi kerajaan sehingga menjadikan Malaysia negara aman dan makmur.
“Semoga semua penjawat awam terus komited, berdedikasi dan fokus untuk sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat Beta. Dalam masa yang sama, kebajikan anggota perkhidmatan awam juga hendaklah terus dibela baik daripada segi kesihatan, pendidikan, perumahan dan bantuan kebajikan.
“Ia perlulah merangkumi anggota yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” titah Baginda.
Mengenai isu bencana alam, Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan supaya mekanisme pengurusan bencana sentiasa ditambah baik bagi menghadapi sebarang ancaman berikutan kemerosotan alam sekitar dan fenomena perubahan iklim.
"Usaha itu turut melibatkan peranan dan tanggungjawab rentas sosial meliputi kerajaan, swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan sukarelawan, terutamanya daripada belia serta rakyat.
“Penyelarasan antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan hendaklah dilaksanakan secara berterusan. Pembangunan sistem amaran bencana berpusat dan peningkatan sistem saliran terutamanya di kawasan berpenduduk padat dan lokasi berisiko tinggi berlaku bencana hendaklah dipergiatkan,” titah Baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang termasuk kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat perlu segera dilaksanakan.
Kommentare