116 kes varian Omicron dikesan di seluruh negara: Khairy116 kes varian Omicron dikesan di seluruh negara: Khairy
top of page
  • Wartawan Nabalu News

116 kes varian Omicron dikesan di seluruh negara: Khairy



6 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 116 kes positif Covid-19 varian Omicron hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 245 kes.


Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata daripada jumlah tersebut 233 kes merupakan jangkitan import dari luar negara iaitu 157 kes (64.08 peratus) daripadanya merupakan jemaah umrah manakala 12 kes lagi merupakan penularan tempatan.


Beliau berkata, kementeriannya juga mengesan 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari lepas didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi Covid-19.


“Kami masih menyiasat rekod pengembara dari luar negara yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi sama ada ada mereka mempunyai masalah kesihatan atau sebab lain.


“Berdasarkan siasatan awal didapati 10 daripadanya membabitkan warganegara manakala tujuh lagi bukan warganegara.


"Negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi ini ialah dari United Kingdom dengan empat kes, Nigeria (empat), Emiriah Arab Bersatu (empat) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi," katanya pada sidang media hari ini.


Khairy berkata wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang divaksin sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan.


Tambah beliau lagi, susulan peratusan kes Omicron membabitkan jemaah umrah yang tinggi, Jemaah Menteri semalam telah mengarahkan penangguhan sementara bagi aktiviti umrah selama sebulan bermula 8 Januari ini untuk membolehkan penilaian risiko dijalankan sebelum kebenaran mengerjakan ibadah tersebut dilaksanakan.


“Kami menjalankan simulasi untuk Omicron dan ramalannya jika kami tidak mengambil langkah pencegahan seperti penggantungan sementara umrah serta langkah kuarantin, kita akan melihat kes melonjak sehingga lebih 15,000 kes sehari bermula Jan hingga Feb,” katanya.

bottom of page