top of page

Search Results

23994 results found with an empty search

  • JAFRY SEDIA BANGUNKAN SEMULA INDUSTRI PELANCONGAN SABAH

    16 OKTOBER 2020 KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan berusaha melonjakkan semula industri pelancongan di Sabah selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir. Jika dilihat dalam dua bulan pertama tahun ini (Januari-Februari), industri pelancongan Sabah kerugian sekurang kurangnya RM320 juta akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, kerajaan bersedia untuk kerjasama dengan negara luar termasuk pelabur asing demi membangunkan kembali industri pelancongan di negeri ini. Ini bagi memastikan industri pelancongan negeri berada dalam keadaan siap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan. Untuk itu, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha pelancongan sebaik sahaja PKPB ini berakhir. “Saya mahu mendengar sendiri keluhan mereka sebab mereka ini antara golongan paling terjejas akibat pandemik ini. Kita juga akan lihat apa yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka dalam melalui fasa pemulihan pasca Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. Jafry berkata, kementerian akan mengikuti garis panduan memulakan semula pelancongan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia di bawah Pertubuhan Banga-Bangsa Bersatu (UNWTO). Beliau berkata, melalui garis panduan itu, aplikasi sistem teknologi baru akan digunakan untuk menghubungkan data kesihatan pelancong. Bagaimanapun, ia memerlukan kerjasama pelancong untuk memberikan data kesihatan selain memberi keyakinan kepada mereka berhubung keselamatan data peribadi. Dalam pada itu, keselesaan pelancong juga diutamakan dengan memastikan mereka selesa dengan infrastruktur pelancongan pasca-Covid-19 yang baru. “Untuk perancangan jangka pendek, kita akan menaiktaraf kemudahan infrastruktur pelancongan sedia yang bukan saja memberi keselesaan kepada pelancong tetapi yang penting adalah mengikut prosedur operasi standard yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya. Menurutnya, pelancongan pasca Covid-19 ini akan menampakkan perubahan, iaitu industri yang bakal memanfaatkan teknologi baru, melancarkan era internasionalisme baru dengan menjalin kerjasama antara negara luar. “Ini adalah gambaran sebenar sektor pelancongan pada masa depan dengan norma baharu. Apa yang penting adalah kejayaan kita dalam menangani krisis ini bergantung kepada kerjasama seluruh negara. “Ini akan menjadi pengukur kepada keupayaan kita dalam menghadapi segala kemungkinan pada masa depan sekiranya berlaku pandemik sebegini,” jelasnya. - Borneo Today

  • LAZADA PASTIKAN BEKALAN RUNCIT CUKUP UNTUK RAKYAT MALAYSIA SEPANJANG PKPB

    16 OKTOBER 2020 KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan barangan runcit dan keperluan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh menarik nafas lega kerana Lazada menyediakan bekalan bahan makanan segar, sejuk beku serta keperluan harian lain yang banyak bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada masyarakat. Ribuan peruncit barangan keperluan dan jenama tersedia setiap hari untuk dipilih oleh pelanggan yang membeli-belah dengan selamat dari rumah di halaman ‘Keep Calm and Shop from Home’ Lazada di http://lzd.co/KeepCalmShopFromHome. "Sayur-sayuran yang baru dituai, makanan laut yang baru ditangkap, buah-buahan yang dipetik dari kebun, makanan beku tahan lama, minyak masak, telur, roti, susu dan banyak lagi adalah antara barang yang mudah diperoleh pada harga diskaun di halaman ini," kata Lazada, platform e-dagang peneraju di negara ini, menerusi kenyataan hari ini. Menurut kenyataan itu, kedai terpilih di Lazada Malaysia termasuk Cameron Farmers, ifresh, Sejadi dan banyak lagi, turut menawarkan penghantaran dalam tempoh 48 jam ke kawasan di sekitar Lembah Klang yang berada di bawah PKPB. "Sebagai sokongan kepada masyarakat mengharungi tempoh ekonomi yang sukar ini, Lazada Malaysia memilih tawaran-tawaran serendah RM1 untuk barang keperluan harian seperti pelitup muka, bagi diketengahkan menerusi ‘Crazy Flash Sale’ dari 10 pagi hingga 11.59 malam setiap hari, untuk memastikan pengguna dalam talian dapat memanfaatkan sepenuhnya perbelanjaan mereka,” demikian menurut kenyataan itu. "Baucar diskaun untuk makanan dibungkus dan penghantaran juga ditawarkan untuk dibeli oleh pengguna, sekali gus membantu memaksimumkan penjimatan mereka ketika memesan makanan daripada restoran kegemaran, termasuk Dunkin 'Donuts, O'Briens, Koomi, GrabFood dan banyak lagi,” kata Lazada. Menurut Lazada, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan mereka untuk memastikan masyarakat mempunyai akses secara berterusan kepada barang keperluan harian dalam talian selain memudahkan penanggung keluarga menyediakan keperluan orang tersayang tanpa perlu meninggalkan rumah. "Untuk memastikan kesejahteraan pelanggan dan keselamatan wira barisan hadapan, kakitangan logistik Lazada dilengkapi peralatan perlindungan diri dan diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu badan setiap hari, mematuhi proses sanitasi yang ketat dan amalan penyerahan kontak sifar. "Pelanggan digalak menggunakan alamat rumah mereka untuk pesanan baharu sepanjang tempoh berada di rumah ini. Perkhidmatan perubahan laluan disediakan secara percuma berdasarkan keadaan-keadaan khusus bagi pesanan sedia ada untuk kawasan yang ditutup sepenuhnya, yang mana rakan kongsi Lazada akan menghubungi penerima untuk alamat baharu,” demikian menurut kenyataan itu. Maklumat lanjut mengenai soalan yang kerap ditanya bagi penghantaran ketika PKPB tersedia menerusi https://lzd.co/deliverymco. – Bernama

  • KERJASAMA SEMUA PIHAK BENDUNG PENULARAN COVID-19: BUNG

    16 OKTOBER 2020 KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri Datuk Bung Moktar Radin berkata, kesungguhan kerajaan menangani penularan Covid-19 di negeri ini sukar dicapai tanpa kerjasama semua pihak. Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, ‘perang’ melawan Covid-19 musuh yang tidak kelihatan masih panjang dan memerlukan kerjasama serta sokongan semua lapisan masyarakat. Sehubungan itu katanya, tumpuan kerajaan ketika ini adalah membendung penularan Pandemik Covid-19 terutamanya membantu menangani keperitan hidup akibat penularan Covid-19. “Kerajaan amat menghargai komitmen pasukan barisan hadapan khususnya para doktor, jururawat pihak keselamatan seperti polis, tentera, Rela dan mereka yang terlibat secara langsung dalam menangani wabak ini. “Oleh itu, masyarakat perlu memberikan kerjasama dan mengambil tanggungjawab sosial serta memainkan peranan masing-masing mengamalkan normal hidup baharu,” katanya ketika ditemui selepas menyertai lawatan pemantuan di POS kawalan keselamatan antara daerah Kota Belud dan Kota Marudu bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali. Bung turut menasihati rakyat negeri ini agar mempunyai kawalan kendiri demi melindungi diri dan orang yang disayang disamping mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan terutamanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

  • COVID-19: SABAH TERUS DIBADAI, KES AKTIF HAMPIR ENAM RIBU

    16 OKTOBERE 2020 Oleh Melati Mohd Ariff Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 10 Okt hingga pukul 12:30 tgh,16 Okt. Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi lebih 18 ribu . Di peringkat global, lebih 39 juta kes dilaporkan dengan sekitar sejuta kematian. Lebih 29 juta orang pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah. KUALA LUMPU: Dengan kemungkinan mutasi virus COVID-19 jenis D614G di Sabah, negeri di bawah bayu itu terus dibadai dengan jumlah kes baharu positif yang tinggi serta tiga kes 1.kematian, yang dilaporkan semalam. Sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 15 Oktober, Sabah mencatat 304 kes baharu atau 51.6 peratus daripada 589 kes baharu yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, virus dengan mutasi berkenaan kemungkinan berasal dari Filipina atau Indonesia, yang menyebabkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi. Dengan 589 kes baharu itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia melepasi angka 18 ribu kepada 18,129 kes, menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini hampir kepada enam ribu, iaitu 5,945 kes. Sementara itu, negeri-negeri di Lembah Klang iaitu Selangor mencatat 150 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sembilan (9) kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, satu (1) kes. Dr Noor Hisham turut melaporkan, sebanyak 409 kes COVID-19 telah pulih iaitu jumlah kes pulih tertinggi direkodkan di negara ini. Ini menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 12,014 kes atau 66.3 peratus dari keseluruhan kes. Pecahan kes yang pulih adalah seperti berikut:- Kedah (226 kes), Sabah (111 kes), Selangor (50 kes), Terengganu (8 kes), Johor (7 kes), Negeri Sembilan (6 kes) dan Pahang (1 kes). KES KEMATIAN DAN KES-KES LAIN Tiga kes kematian yang dilaporkan pada Khamis 15 Oktober, semuanya di Sabah, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia sebanyak 170 kes (0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Kes kematian melibatkan dua pesakit wanita, seorang warganegara berusia 54 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan seorang bukan warganegara berusia 100 tahun di Hospital Duchess of Kent, Sandakan. Sementara kes kematian ketiga, seorang lelaki bukan warganegara, 68, di Hospital Tawau. Mengikut pecahan hari, kematian yang dicatat yang semuanya dilaporkan di Sabah adalah seperti berikut:-- 3 kes (15 Okt), 4 kes (14 Okt), 4 kes (13 Okt), 2 kes (12 Okt), 2 kes (11 Okt) dan 3 kes (10 Okt). Seramai 103 orang pesakit COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan. Untuk rekod, kes baharu COVID-19 sepanjang rangkuman ini adalah seperti berikut:- 589 kes (15 Okt), 660 kes (14 Okt), 660 kes (13 Okt), 563 kes (12 Okt), 561 kes (11 Okt) dan 374 kes (10 Okt). Untuk kes pulih pula yang dilapor adalah 409 kes 15 Okt, 233 kes (14 Ok)t, 350 kes (13 Okt), 109 kes (12 Okt), 133 kes (11 Okt) dan 73 kes (10 Ok). Sementara itu, jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 22 Sept sehingga 13 Okt adalah 394. Setakat ini, KKM melaporkan terdapat 23 kluster di seluruh Malaysia yang disebabkan oleh kes indeks iaitu pengunjung dengan sejarah perjalanan dari Sabah. KLUSTER DAN STATUS TERKINI KES COVID-19 Pada Khamis 15 Okt, Dr Noor Hisham mengumumkan keseluruhannya terdapat 178 kluster yang direkod sepanjang berlakunya wabak COVID-19 di negara ini dan 103 sudah ditamatkan. Setakat 15 Okt 2020, masih terdapat 75 kluster dan yang aktif adalah sebanyak 23 . Perincian kes baharu yang dilaporkan KKM setakat pukul 12 tengah hari 15 Okt, Sabah yang merekod 304 kes turut mencatat satu kluster baharu, Kluster Olive (13 kes). Di Selangor, daripada 150 kes baharu, 125 kes adalah daripada kluster yang ada; Perak mencatat 52 kes dengan satu kluster baharu, Kluster Bah Pengkalan (2 kes); Kedah, 31 kes di mana 28 kes daripada Kluster Tembok; Pulau Pinang, 16 kes; Negeri Sembilan, 11 kes; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sembilan (9) kes; Wilayah Persekutuan Labuan, enam (6) kes di mana dua dari kluster baharu, Kluster Saguking; Sarawak, dua (2) kes; Melaka, dua (2) kes; Kelantan, dua (2) kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, satu (1) kes, kluster baharu, Kluster Bah Pasir. Akibat peningkatan jumlah kes dan kluster yang aktif sejak kebelakangan ini, KKM melaporkan terdapat beberapa daerah di Semenanjung Malaysia yang berubah menjadi zon kuning dan merah. Sehingga 14 Oktober 2020, sebanyak 52 daerah yang dilaporkan menjadi zon kuning dan sebanyak 19 daerah telah menjadi zon merah di seluruh Malaysia. BANTUAN UNTUK SABAH "Medan perang" COVID-19 di Malaysia ternyata berpusat di negeri di bawah bayu, Sabah yang merekodkan kes harian baharu tertinggi sepanjang rangkuman mingguan ini. Untuk menampung keperluan, kerajaan terpaksa mewujudkan sebuah hospital lapangan, Hospital Medan Tawau bagi menempatkan pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Tawau. Ia dibangunkan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Dengan adanya hospital lapangan itu, ia memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau merawat kes yang memerlukan penjagaan rapi iaitu kategori tiga hingga lima termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan khususnya Semporna. Hospital Tawau adalah antara sembilan hospital khusus merawat pesakit COVID-19 di Sabah. Di samping itu, KKM dilapor akan menghantar 140 pegawai perubatan dan 225 Penolong Pegawai Perubatan (PPP) untuk ditempatkan di Jabatan kesihatan Negeri Sabah mulai Oktober ini. Sementara itu, kumpulan pertama petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan sudah tiba semalam untuk bertugas di hospital sementara, Hospital Medan di Tawau, Sabah. Pasukan tersebut terdiri daripada empat pegawai dan 32 anggota dari Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kuching dan Kota Kinabalu bersama elemen sokongan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) A400. LANGKAH KEKANG COVID-19 Terkini, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Wilayah Persekutuan Labuan mulai 17 Okt hingga 30 Okt kerana kes positif COVID-19 yang semakin meningkat. Pelaksanaan PKPB sebelum ini dikuatkuasakan bagi seluruh Sabah bermula tengah malam ini 12 Okt sehingga 26 Oktober nanti, kerana peningkatan kes positif di negeri itu. PKPB turut dilaksanakan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober. Langkah tersebut adalah untuk mengekang penularan COVID-19 di samping membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB. Memandangkan kes baharu COVID-19 yang melibatkan pesakit yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabh semakin meningkat dengan kemunculan juga kluster baharu, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan kesihatan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan Domestik, diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang (wristband). Mereka juga perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Langkah ini bermula 11 Oktober 2020 sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. STATISTIK GLOBAL COVID-19 Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah melebihi 39 juta. Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 39,169,824 (rangkuman minggu lalu 36,790,846) dengan 1,102,919 kematian (minggu lalu 1,067,424 kematian). Jumlah pesakit sembuh ialah 29,378,268 (minggu lalu 27,664,655). Amerika Syarikat masih di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 8,216,315 kes (minggu lalu 7,833,763 kes). Angka kematian 222,717 (minggu lalu 217,7380. Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020. India, di tempat kedua dengan 7,365,509 kes (minggu lalu 6,906,151 kes) dengan 112,146 kes kematian (minggu lalu 106,521 kematian). Ini diikuti Brazil, dengan 5,170,996 kes (minggu lalu 5,029,539 kes) dan 152,513 kematian (minggu lalu 149,034 kematian). Rusia merekod 1,354,163 kes (minggu lalu 1,272,238 kes) dan 23,491 kematian (minggu lalu 22,257 kematian). Di samping empat negara di atas, terdapat 40 buah (minggu lalu 38) lagi negara mencatat lebih 100,000 kes COVID-19. Negara-negara dalam senarai tersebut adalah seperti berikut:- Sepanyol 972,958 kes (33,553 kematian), Argentina 949,063 kes (25,342 kematian), Colombia 936,982 kes (28,457 kematian), Peru 859,740 kes (33,577 kematian), Mexico 834,910 kes (85,285 kematian), Perancis 809,684 kes (33,125 kematian), Afrika Selatan 698,184 kes (18,309 kematian), United Kingdom 673,622 kes (43,293 kematian), Iran 517,835 kes (29,605 kematian), Chile 486,496 kes (13,434 kematian), Iraq 416,802 kes (10,086 kematian), Bangladesh 384,559 kes (5,608 kematian), Itali 381,602 kes (36,372 kematian), Indonesia 349,160 kes (12,268 kematian), Jerman 348,816 kes (9,810 kematian), Filipina 348,698 kes (6,497 kematian), Turki 342,143 kes (9,080 kematian), Arab Saudi 341,062 kes (5,127 kematian), Pakistan 321,218 kes (6,614 kematian), Israel 300,201 kes (2,127 kematian), Ukraine 281,239 kes m(5,302 kematian), Belanda 203,954 kes (6,692 kematian), Belgium 191,959 kes (10,327 kematian) dan Kanada 191,732 kes (9,699 kematian). Negara lain: Romania 168,490 kes (5,674 kematian), Maghribi 163,650 kes (2,772 kematian), Equador 150,360 kes (12,306 kematian), Poland 149,903 kes (3,308 kematian), Czechia 149,010 kes (1,230 kematian), Bolivia 139,319 kes (8,407 kematian), Qatar 128,803 kes (222 kematian), Panama 122,883 kes (2,529 kematian), Nepal 121,745 kes (694 kematian), Republik Dominica 120,066 kes (2,189 kematian), Kuwait 114,015 (684 kematian), Emiriah Arab Bersatu 111,437 kes (452 kematian), Kazakhstan 109,202 kes (1,768 kematian), Oman 108,296 kes (1,071 kematian), Mesir 105,033 kes (6,088 kematian) dan Sweden 102,407 kes (5,910 kematian) Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-52 dengan 85,646 kes (minggu lalu 85,521 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya). Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 41 negara buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19. Minggu ini Indonesia mengatasi Filipina dengan 349,160 kes (minggu lalu 324,658 kes) dan 12,268 kematian (minggu lalu 12,156 kematian). Filipina merekod 348,698 kes (minggu lalu 334,770 kes) dan 6,497 kematian (minggu lalu 6,152 kematian). Singapura pula merekodkan 57,892 kes (minggu lalu 57,859 kes) dengan angka kematian bertambah satu, kepada 28. Myanmar mempunyai 32,351 kes (minggu lalu 22,445 kes) dan 765 kematian (minggu lalu 535 kematian). Jumlah kes positif COVID-19 di Thailand pula sebanyak 3,665 kes (minggu lalu 3,628 kes) dan angka kematian kekal 59. Vietnam mencatat 1,124 kes (minggu lalu 1,100 kes) dan angka kematian kekal 35. Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 283 kes (minggu lalu 281 kes) dan masih sifar kematian. Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos kekal 23 kes dan sifar kematian. --------------------------------------------------------------------------------------------- RUANGAN SISI LATAR BELAKANG COVID-19 -- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina. -- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. -- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia. -- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar. -- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta. -- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini. -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik. -- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu). -- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009. -- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression. -- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan. -- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19. -- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019). - Bernama

  • AGONG MAHU AHLI POLITIK BERMUHASABAH, TIDAK ULANGI KANCAH POLITIK TIDAK MENENTU

    16 OKTOBER 2020 KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati semua rakyat khususnya ahli politik untuk bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu. Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka memberi ingatan itu kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik COVID-19. Al-Sultan Abdullah juga mengulangi titah nasihat kepada ahli-ahli Parlimen supaya mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh-kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat, yang dititahkan semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lepas. Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, berkata Seri Paduka turut menegaskan bahawa ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan. Sebaliknya, titah Seri Paduka mereka perlu menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. “Mengambil keberkatan bersempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin,” katanya. Sementara itu, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut menitahkan semua masjid di negara ini mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat agar penularan wabak COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera. Titah Seri Paduka itu berikutan penguatkuasaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya, selain kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan. "Oleh itu, Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak-pihak berkuasa memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara," katanya. - Bernama

  • WANITA CEDERA DISAMUN LELAKI BERSENJATA PISAU

    16 OKTOBER 2020 LABUAN: Seorang wanita cedera di bahagian muka, lengan dan perut akibat ditendang dan ditumbuk dalam kejadian samun kira-kira 4.10 pagi Rabu, 14 Oktober 2020. Ketua Polis Daerah WP Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata wanita Cina yang merupakan pekerja sebuah hotel itu disamun di rumah sewanya di Kg Sungai Labu. “Suspek pelaku samun adalah penganggur, lelaki berumur 28 tahun dan bersenjatakan pisau,” katanya. Farid menjelaskan, suspek berkenaan berjaya ditahan hari yang sama kira-kira 2.00 petang dan merampas telefon bimbit milik mangsa serta sebilah pisau pemotong sayur yang disyaki digunakan dalam kejadian itu. Menurut Farid, suspek melakukan samun dengan memecah masuk ke dalam rumah sewa mangsa dan seterusnya mengarahkan mangsa agar tidak menjerit. “Namun mangsa melawan dan berlaku pergelutan sehingga mangsa mengalami kecederaan,” katanya. Jelas Farid, suspek kemudian bertindak agresif dengan mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa dan meminta mangsa menyerahkan barang-barang berharga di dalam begnya berisi wang tunai RM80 dan telefon bimbit yang kesemuanya dianggar RM1,400. Farid menjelaskan, kes itu diklasifikasi mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga 20 tahun, dan dikenakan denda atau sebat. – Oleh Henry Bating/ Utusan Borneo

  • ENAM DIKOMPAUN TIDAK PAKAI PELITUP MUKA

    16 OKTOBER 2020 LABUAN: Enam individu dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka di enam lokasi berbeza dalam OP Bersepadu Pematuhan SOP PKPP antara 2.30 hingga 4.30 petang semalam. Ketua Polis Daerah WP Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata enam individu itu melibatkan lima lelaki dan seorang wanita tempatan berumur antara 23 hingga 36 tahun. “Antara lokasi individu dikompaun ialah di hadapan premis makanan, kedai runcit, dobi dan tempat awam,” katanya. Menurut Farid, operasi yang disasarkan di seluruh pulau Labuan itu melibatkan 30 pegawai dan anggota Polis, Tentera, RELA dan Penguatkuasa Perbadanan Labuan. Kata Farid, operasi itu dijalankan untuk membuat pemantauan, pemeriksaan dan seterusnya mengeluarkan kompaun ke atas individu yang gagal mematuhi SOP. Farid menegaskan semua individu yang dikompaun didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No.8) 2020 yang boleh dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang. “Operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan telah melibatkan pemeriksaan sebanyak 48 premis di kawasan sekitar Labuan,” katanya. Farid berkata, pihak polis akan terus melaksanakan OP Bersepadu Penguatkuasaan SOP PKPP bagi membendung penularan virus Covid-19 di pulau ini. Oleh Henry Bating/ Utusan Borneo

  • PERINTAH BERKURUNG DI PERAIRAN ESSZONE DILANJUTKAN

    16 OKTOBER 2020 TAWAU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 1 Nov depan. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata perintah itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran. Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi. "Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZone. "Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan," katanya dalam kenyataan, hari ini. Hazani berkata arahan itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan. Katanya dalam pada itu turut memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di ESSZone mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung berkenaan. - Bernama

  • LELAKI DIKHUATIRI HILANG KETIKA CARI SIPUT - MARITIM SABAH

    16 OKTOBER 2020 KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika mencari siput di perairan Pulau Keramat, Rampaian Laut, Kota Belud, semalam. Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan Laksamana Pertama (M) Mohd Rosli Abdullah berkata mangsa, Mohd Hafizan Abdul Muara, 21, dari Kampung Rampaian, Kota Belud telah keluar bersama tiga rakannya untuk mencari siput tetapi disedari hilang dipercayai dipukul ombak kira-kira 3 petang. “Usaha mencari mangsa turut dilakukan oleh orang kampung pada petang semalam sejurus dimaklumkan oleh rakan-rakan mangsa, bagaimanapun mangsa tidak dijumpai,” menurutnya dalam kenyataan di sini kelmarin. Mohd Rosli berkata pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada 7.30 malam semalam dan disambung 7 pagi tadi serta menggerakkan Bot Pengawal 38 ke lokasi dibantu aset dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Beliau turut mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa menjaga keselamatan serta peka dengan keadaan cuaca semasa, terutama ketika musim hujan dan angin kencang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. "Maritim Malaysia mohon kerjasama daripada komuniti maritim supaya melaporkan kecemasan yang berlaku di sekitar perairan Kota Kinabalu dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774 dan MERS 999,” katanya.- Bernama

  • PKPB: ‘RAK KONGSI REZEKI’ BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN DI KUDAT

    Oleh Rohana Nasrah KUDAT: Cakna dengan kesusahan dihadapi penduduk sekitar terutamanya golongan kurang berkemampuan yang terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), seorang usahawan wanita di daerah ini menggerakkan projek ‘Rak Kongsi Rezeki’ bagi memastikan mereka mendapat bekalan makanan. Inisiatif itu digerakkan Norlizah Gurahman, 33, yang menyediakan pelbagai keperluan bekalan makanan seperti tepung, beras, gula, minyak masak, telur, susu, biskut dan makanan dalam tin yang diletakkan di 15 masjid serta surau di sekitar daerah ini. Beliau dibantu tiga rakannya, Anati Lattif, 33; Siti Syabira Izzati Mohd Safee, 26; dan Marhain Muhammad, 23, serta beberapa sukarelawan bagi menjayakan projek tersebut. “Saya memulakan inisiatif ini sejak dua hari lepas dengan niat untuk membantu meringankan beban ditanggung penduduk sekitar daerah ini. Sebelum ini, saya turut melakukan aktiviti sama dengan menyediakan bakul makanan dan diserahkan kepada golongan memerlukan dari rumah ke rumah pada Mac lepas. “Namun, kali ini sedikit berlainan, sebuah rak dengan pelbagai keperluan makanan disediakan di masjid dan surau sebagai alternatif bagi memastikan penduduk ada bekalan memandangkan keadaan sekarang tidak begitu sesuai melakukan aktiviti serahan dari rumah ke rumah susulan peningkatan kes COVID-19,” katanya kepada Bernama. Norlizah berkata beliau bersama rakan-rakannya akan memantau dan menambah stok keperluan barang makanan di semua ‘Rak Kongsi Rezeki’ tersebut bagi memastikan bekalan yang berterusan untuk kemudahan penduduk yang memerlukan. Beliau turut mengalu-alukan individu atau pihak lain yang mahu menyumbang barangan keperluan untuk diletakkan di rak itu. "Jika lebih ramai yang tampil memberi sumbangan, pastinya akan lebih ramai dapat dibantu dan mereka dapat mengharungi tempoh mencabar ini,” katanya yang turut mengajak anak-anak muda di Kudat tampil berkhidmat dan membantu masyarakat yang kurang berkemampuan. ‘Rak Kongsi Rezeki’ itu disediakan di Masjid Al Akmal Landung Ayang, Masjid An-Nur Kampung Ayer, Masjid Nurul Hikmah Kampung Gumpa, Masjid Nurhidayah Perpaduan Ria, Masjid Ar Riyasi Tanjong Kapor, Masjid Jamek Kampung Pengaraban, Masjid Asyakirin dan Masjid Ubudian, Pekan Sikuati. Masjid lain ialah Masjid Al-Ihsan PPR Taman Ehsan, Masjid Ar Rahman Kampung Muhibbah, Masjid Imam Hj Dusaan Kampung Korina Sikuati, Masjid Tun Mustapha Kampung Limau-Limauan, Masjid Al-Badar Kampung Parapat Laut, Surau Kampung Milau dan Surau Nur Budiman, Kampung Pantai. - Bernama

  • MARKETS, REFLEXOLOGY CENTRES AMONG SECTORS THAT ARE NOT ALLOWED TO OPERATE DURING CMCO

    15 OCTOBER 2020 KOTA KINABALU: Economic sectors that are not allowed to operate throughout the Conditional Movement Control Order (CMCO) period are night and agriculture markets, tamu, entertainment outlets as well as beauty and reflexology centres, said Local Government and Housing Minister Datuk Masidi Manjun. Entertainment outlets that temporarily cease operation include night clubs, pubs and cinemas. He said, there have been confusions among the public over which sectors are allowed to operate during the 14-day CMCO. “The state government received many inquiries from the public because there have been confusions, especially on the permission to operate for all economic, industry and business sectors. “This confusion surfaced because the standard operating procedures (SOP) for the CMCO for districts in red zones previously only allowed essential services to operate only. “I would like to clarify that the SOP used throughout Sabah is currently based on the SOP issued by the National Security Council dated October 14," he said in a statement here, Thursday. "The previous SOP is not applied, except for the existing SOP of the Enhanced Movement Control Order (EMCO) in 10 localities." Masidi who is also the Finance Minister ll stated that those in the economic, industrial and business sectors no longer need to send in application to the State Disaster Management Committee (COVID-19) for permission to operate. "In line with the implementation of CMCO throughout Sabah starting October 13, all previous CMCO instructions that involved 11 districts are automatically cancelled," he said. On another note, he said a total of 26,178 food baskets have been distributed to the targeted groups. Ends

  • WANITA 100 TAHUN ANTARA TIGA KEMATIAN DI SABAH

    15 OKTOBER 2020 OLEH WARTAWAN NABALU NEWS KOTA KINABALU: Tiga lagi kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di negeri ini, termasuk seorang wanita bukan warganegara berusia 100 tahun di Hospital Duchess of Kent Sandakan. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 170 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Beliau berkata, kes kematian ke-168 melibatkan wanita warganegara berusia 54 tahun di Hospital Queen Elizabeth yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung serta pesakit kelenjar tiroid. “Kes kematian ke-169 pula melibatkan seorang lelaki bukan warganegara berusia 68 tahun dari Hospital Tawau yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan kematian ke-170 melibatkan wanita bukan warganegara berusia 100 tahun yang dirawat di Hospital Duchess of Kent (Sandakan),” katanya dalam sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini. Mengenai perincian kes baharu mengikut negeri yang dilaporkan pada hari ini, Noor Hisham berkata, Sabah mencatat angka tertinggi iaitu 304 kes, diikuti Selangor (150 kes), Perak (52 kes), Kedah (31 kes), Pulau Pinang (16 kes), Negeri Sembilan (11 kes), Kuala Lumpur (sembilan kes), Labuan (enam kes), Sarawak, Melaka dan Kelantan masing-masing dua kes dan Putrajaya mencatat satu kes. Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu positif di Sabah, 165 kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19, 25 kes daripada kluster-kluster sedia ada, 13 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Olive dan 101 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page